Sunday, May 30, 2010

Iman dan Materialisma ( Bhgn 1 )

Al-Quran sebuah mukjizat yang datangnya daripada Pencipta . Kalam Maha Pencipta yang mulia ini tidak pernah menyeleweng apatah lagi menipu tentang hal-hal penciptaan dan seisinya . Maka selama ini , al-Quran yang telah diturunkan kira-kira tiga belas kurun yang lampau , rupa-rupanya menyingkap kebenaran sepanjang zaman , membongkar sejarah yang bakal dilakar oleh peredaran masa dan menjadi solusi permasaalahan manusia . Ia juga menjelaskan mengenai tamadun kedajalan yang lahir pada abad ketujuh belas Masihi yang lalu dan mencapai peringkat kematangannya dalam abad kedua puluh ini , iaitu tamadun materialisma .

Tamadun ini merupakan satu bentuk pemikiran baru , juga satu ancaman kerohanian terhadap kemanusiaan pada hari ini . Ia datang dan meresap masuk dengan hebatnya sebagai satu gelombang raksaksa . Namun , sebesar mana pun keraksaksaan-nya itu , apabila ia hadir sebagai satu bentuk 'gelombang' , maka sudah pasti ia jauh dari kesedaran 'pancaindera' manusia . Sepertimana butanya pancaindera mata dari melihat gelombang-gelombang coverage celcom , maxis dan digi yang bersilang-silang dan berkecamuk di sekitar kita , begitulah juga kebutaan jiwa yang hilang 'sense of spirituality' dalam menghadapi kepincangan gelombang materialisma kedajalan .

Serangan kebendaan atau materialisma terhadap diri manusia tanpa hadirnya elemen-elemen spiritual yang memekarkan ruh , menyebabkan neraca pemikiran manusia tidak seimbang atau berat sebelah . Ketidakseimbangan ini akhirnya memuncak dan memaksa diri terjun ke lembah kehinaan .

Firman Allah :
"Katakanlah :"Mahukah kami beritahu kepada kamu orang yang paling rugi tentang amal-amal(mereka) ? (iaitu) orang-orang yang sesat usahanya di penghidupan yang rendah(ini) , pada hal mereka sangka bahawa mereka berbuat demikian ."(18:103-104)

Pemikiran ini telah pun menular ke dalam tamadun manusia hari ini . ini dapat dikesan kerana arus pergerakannya adalah bertentangan dengan aliran yang dibawa oleh Rasul . Ia menolak konsep beriman dengan hari kiamat , beriman dengan perkara ghaib , beriman dengan Allah Pencipta alam sejagat , beriman dengan kekuasaan Allah yang mutlak serta kewajipan menghormati perundangan dan ajarannya . Inilah senario yang berlaku pada hari ini , maka jika hampir kesemua manusia bertindak sedemikian , lewat keadaan akan menjadi lebih parah . Barah yang sekian lama terbentuk akan kekal malah membesar menjangkiti seluruh masyarakat . Pada saat itu , lahirlah masyarakat yang hina tanpa matlamat hidup .

Al-Quran sudah pasti tidak ketinggalan dalam hal ini . Al-Quran bukan sahaja meneroka kewujudan sikap yang menjamah kemuliaan tamadun ini , malah menyingkap realiti yang bakal berlaku apabila kepincangan materialisma diganding bersama penyakit 'wahn' yakni cintakan dunia dan takutkan mati . Penyakit yang dianuti oleh hampir sebahagian besar masyarakat dunia kini .

Firman Allah :
"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya , kerana Kami hendak memberi percubaan kepada mereka , siapakah di antara mereka yang baik amalnya ? Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada padanya sebagai tanah yang rata."(18:7-8)

Allah mengingatkan manusia berkenaan segala yang ada di hadapan mata merupakan perhiasan semata-mata , maka disepanjang penghidupan dikelilingi perhiasan itu , kita diuji . Selalunya , ujian berbentuk perhiasan pasti lebih sukar berbanding ujian kesedihan , kesusahan dan sebagainya kerana ujian yang pertama lebih memerlukan sesuatu tindakan yang kritikal , tindakan yang lebih kerap digelar sebagai perlawanan dengan nafsu dan keinginan .

Dalam hal tersebut , Al-Quran tidak meninggalkan kita terkapai-kapai tanpa solusi . Jawapan kepada ujian tersebut , lebih berbentuk rencah dan penguat diri untuk melaksanakan tindakan kritikal tadi . Mudah , sebagaimana al-Haq memadam al-Batil tatkala kedua-duanya berkonflik , maka gelora materialisma akan pasti dihancurkan oleh satu-satunya tunjang ketakwaan , iaitu IMAN .

Firman Allah :
"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh (iaitu Al-Quran) dengan perintah kami . Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah Kitab (Al-Quran) dan apakah iman itu , tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya , dengan itu kami memberi petunjuk siapakah yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami . Dan sungguh , engkau benar-benar membimbing (manusia) kepad jalan yang lurus ." (42:52)

Keimanan kepada Allah menolak segala bentuk penyingkiran unsur-unsur kerohanian bahkan membuahkan perasaan ubudiah seorang hamba kepada Pencipta . Keimanan amat sukar didefinisi oleh perbuatan , kerana ianya adalah soal hati . Hati kecil yang berbicara dan hati kecil yang mempercaya . Siapa tahu apakah hati ini benar-benar percaya , atau mulut sahaja yang berkata . Bahkan hati sering dipengaruhi bisikan syaitan . Justeru , mempertahankan keimanan bukanlah perkara mudah . Hanya mereka yang berjaya mempertahankannya mampu menongkah arus materealisma .

Al-Quran banyak menceritakan sejarah umat terdahulu dalam survival mempertahankan keimanan . Antara kisah tentang pertembungan iman dengan materialisma banyak diceritakan dalam surah al-Kahfi , surah yang ke-18 . Dari awal hingga ke akhir surah al-Kahfi ini , semuanya dipenuhi penjelasan mengenai akidah kepada hari akhirat , akidah keimanan kepda perkara ghaib , keimanan kepada Allah Azza Wajalla yang mencipta alam , keimanan kepada kekuasaan Allah yang mutlak , yang mana Alllahlah yang mentadbir segala-galanya . Dalam segala aspek , surah ini adalah merupakan akidah , jiwa , fikrah dan tabii . Perkara-perkara ini adalah ditolak oleh kebendaan yang semata-mata berpegang pada benda-benda kasar , lahiriah , praktikal , memberi faedah duniawi semata-mata , kepuasan fizikal dan penghormatan bangsa . Kebendaan sebegini , dengan sedaya upayanya menyisih dan memerangi aqidah tersebut . Oleh itu , surah al-Kahfi ini diturunkan dengan memiliki alat yang dapat mencabut akar umbi tamadun kebendaan .

Rasullallah s.a.w telah menjelaskan bahawa , membaca surah ini dan menghafaz awal atau akhirnya dapat memelihara seseorang itu daripada fitnah Dajjal . Bagi orang yang memerhati dan meneliti surah ini , tentulah ia dapat melihat dengan jelas kewujudan hubungan seni antara permulaan dengan penutupnya . Bahkan keseluruhan surah ini mempunyai hubungan yang erat dan mendalam dengan fitnah Dajjal yang akan muncul bila tiba waktunya . Surah al-Kahfi mengandungi 4 kisah dan keempat-empat kisah inilah yang menjadi isi patinya . Ia juga merupakan empat pusat berkisarnya hukum , ajaran serta pengajarannya . Surah al-Kahfi merupakan kisah pertentangan di antara dua pendapat , dua aqidah , dan dua jiwa . Ia merupakan pertentangan antara keimanan dan kepada kebendaan .

Kisah-kisah dalam surah al-Kahfi :
1.Kisah Ashabul Kahfi
2.Kisah pemilik 2 kebun
3.Kisah Nabi Musa dengan Nabi Khidir
4.Kisah Sultan Zulkarnain

Kisah-kisah yang berlaku sebelum zaman kelahiran Rasullallah s.a.w ini diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran tepu dengan konsep cabaran akidah menentang kekufuran sebagai pengajaran kepada umat seterusnya . Justeru , kita yang hidup di akhir zaman ini , sudah pasti memerlukan satu teori yang jelas bagi menghadapi cabaran akhir zaman yang kerap berlakunya fitnah .

sekian (tamat bhgn 1)
#artikel seterusnya akan membincangkan kisah-kisah diatas secara ringkas melalui aspek "pertembungan antara iman dan materialisma" .

0 comments:

Post a Comment