Monday, March 23, 2009

Krisis Kesatuan Ummah

Bismillahirrahmanirrahim ...

Dunia hari ini memperlihatkan perpecahan yang dasyat dalam entiti ummah ini yang mana suatu masa dahulu pernah menguasai timur dan barat . Sudah terbuku dalam sejarah islam bahawa bibik2 perpecahan ini telah berlaku sejak sejurus kewafatan Rasullallah lagi . Maka setelah berabad-abad lamanya roda masa berputar , setelah dunia memperlihatkan jatuh bangun nya empayar-empayar yang besar , juga setelah samudera ini menjadi saksi akan kebangkitan umat islam yang digelar 'khaira ummah' , maka pada hari ini ternyata perpecahan sudah menular kepada berbagai-bagai bentuk . Perpecahan yang berlaku terus menjadi tunjang kepada gangguan kebangkitan islam . Apa yang lebih menyedihkan pula , perpecahan pada hari ini bukan sahaja direncanakan oleh musuh2 islam sahaja malah mereka yang ingin menyelamatkan islam juga terus diperdaya lantas dijadi 'producer' kepada sesetengah agenda perpecahan . Mungkin ada orang mengatakan hal yang berlaku mungkin kerana mereka tidak menggunakan landasan yang asli dalam merangka agenda dakwah . Landasan dakwah yang penuh penyelewengan terus menyebabkan perpecahan dalam jamaah sebagai jawapannya . Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna lantas menetapkan bahawa 'al-fahmu' atau kefahaman menjadi usul yang utama dalam menggerakkan sesuatu agenda . Oleh itu , bagaimana sesuatu jemaah dapat bergerak kemas dan cermat jika perjalanan mereka penuh dengan kepalsuan serta tidak ada nilai yang asli , jauh sekali untuk memenuhi kehendak kefahaman yang tulen .


Ustaz Mustafa Masyhur menyatakan dalam bukunya , Tariq Ad-Dakwah (antara keaslian dan penyelewengan ) bahawa antara faktor perpecahan yang menyerlahkan penyelewengan dalam landasan dakwah ialah terlalu cenderung dan ekstrim kepada pertarungan-pertarungan tepian dan masalah cabang . Landasan yang aslinya ialah kita mesti sibuk dengan masalah-masalah pokok (kulli) yang merupakan tunjang dan relevan untuk dibincangkan dengan memberi keutamaan kepadanya . Tidak lah ini bererti kita biarkan langsung masalah cabang tetapi kita hendaklah berikan masa dan tenaga sekadar yang munasabah saja dan jangan mencuaikannya . Jangan pula perkara2 cabang ini memonopoli langkah kerja dakwah kita sehingga berlaku percakaran juga sehingga timbul kemuncaknya yakni perpecahan . Namun , banyak lagi sebenarnya langkah-langkah palsu yang kemuncaknya menyusulkan perpecahan antara jemaah atau masyarakat islam . Ianya tidak lain tidak bukan ialah kita perlu singkirkan sikap fanatik kepada pemimpin dan kumpulan masing-masing , juga perlu mengelakkan dari mengangkat panji manhaj baru kerana sudah pasti ianya hanya akan menjurus kepada pertelingkahan , yang kita lakukan ialah kesederhanaan dalam tindakan dan serius dalam memperjuangkan yang haq .

Oleh itu , setelah ranting-ranting yang tidak diperlukan telah dicantas , maka mudahlah untuk mengatur agenda kesatuan . Ini adalah kerana sudah tidak ada lagi masalah-masalah minor yang menjadi penghalang kepada agenda utama . Penyatuan yang kemas adalah penyatuan akhlak dan langkah cara , disertakan juga oleh penyatuan ideologi dan fahaman yang sudah semestinya disatukan dengan cara toleransi dan persetujuan bersama.

Allah berfirman dalam surah al-Anfal , ayat 62 yang bermaksud , "Dan Dialah(Allah) yang mempersatukan hati-hati mereka yang beriman . Walaupun kamu menginfakkan semua kekayaan yang berada di bumi , nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka , tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka . Sesungguhnya , Dia Mahaperkasa , Mahabijaksana ."

Mengenai isu ini ,Ustaz Fathi Yakan pula dalam tulisannya "Kearah Kesatuan Gerakan Islam" menyatakan bahawa faktor-faktor luaran seperti kekurangan kemampuan tenaga manusia, teknikal dan juga kebendaan yang dimiliki oleh gerakan Islam dibandingkan dengan yang yang dimiliki oleh jahiliah merupakan sebahagian dari sebab-sebab permasaalahan ummah kini tetapi ianya bukanlah menyumbang keseluruhannya . Malah beliau tidak bersetuju terhadap mereka yang memandang timbulnya fenomena kesempurnaan dan kerosakan dalam kehidupan dakwah dihasilkan totalnya oleh kekurangan kemampuan dan kelemahan potensi . Beliau menyatakan bahawa gerakan islam itu sendiri perlu meningkatkan potensi dan kelemahan serta memperbetulkan langkah kerja dalam amal islami .

Dalam hal penyatuan ini , sesuatu umat tidak mampu disatukan berdasarkan sesuatu perkara melainkan jika mereka memiliki tujuan hidup yang agung dan risalah yang mulia untuk mereka perjuangkan . Tidak ada objektif atau risalah yang lebih besar dan lebih tinggi bagi umat islam selain menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran .

Hakikatnya pada hari ini para daie pasti memerlukan sebuah bahtera yang satu yang dapat menyatukan semua gerakan islam . Bahtera ini memiliki nakhodanya yang ditaati malah memiliki karisma untuk menyatukan mereka yang berpecah , memiliki rencah2 yang wajib dalam menjalankan agenda penyatuan . Maka sudah pasti pembinaan bahtera toleransi yang membelakangkan aspek fahaman dan ideologi untuk kesatuan ummah menjadi agenda utama gerakan islam kini juga perlu dilabel sebagai masalah kulli . Dalam masa yang sama , tanggungjawab mencari nakhoda yang jujur , ikhlas serta tidak menyeleweng dari jalan dakwah yang asli adalah perlu untuk melaksanakan agenda kesatuan .

2 comments:

  1. salam ziarah
    kaifa hal?
    lama tak dengar berita.

    ym qamarul- qamarul_naim

    ym ana- suhailsufian

    anta punya?

    kalau boleh nak keeep in touch

    salam dari iskandariah mesir

    ReplyDelete