Wednesday, January 12, 2011

Karisma bersedia berubah namun kesatuan diutamakan


KUALA LUMPUR – Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) membayangkan ia bakal melalui tempoh transisi bermula sekarang, namun menegaskan agenda kesatuan khususnya yang melibatkan seluruh persatuan mahasiswa Islam di negara ini akan diteruskan malah wajar diperkasa lagi.

Presiden KARISMA sesi 2010, Abdullah Omar Muhamad Fuad dalam Ucapan Dasar Presiden bersempena Perhimpunan KARISMA Nasional 2010 (PKN ’10) berkata, KARISMA yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) pada 2 Mei 1999 mengambil keputusan untuk melangkah seiringan dengan JIM dalam mendepani perubahan semasa.

JIM yang dilihat sedang melalui proses transisi dari sudut organisasi dijangka akan memindahkan segala aktivisme dan asetnya ke sebuah ‘rumah baru’ yang dinamakan IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia).

Katanya lagi, jawatankuasa pusat JIM dalam Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN), 18 Disember 2010 telah mencadangkan bahawa status akhir JIM adalah pembubaran. Sebelum itu, dalam PPN Khas pada 24 Julai tahun lepas, JIM turut meminta ahli-ahlinya menganggotai IKRAM, namun aktiviti semua institusi JIM dan yang melibatkan pihak luar perlu diteruskan hinggalah IKRAM mengambil peranan JIM dengan baik.

KARISMA mengambil pendirian untuk bersama-sama JIM menjayakan IKRAM. Sehubungan perkara itu, jawatankuasa KARISMA Nasional mencadangkan agar KARISMA dibubarkan dan sebuah pertubuhan mahasiswa baru ditubuhkan di bawah IKRAM. Segala pengalaman dan aset maknawi KARISMA juga dipindahkan dan diteruskan dalam wadah baru tersebut.

Menurut Abdullah, apa yang berlaku kini adalah proses perubahan ke arah kebaikan. Mengambil contoh hijrah Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah, tempat yang lebih kondusif untuk perkembangan dakwah, sejarah menyaksikan peribadi para sahabat yang dibentuk di Makkah terus mendukung perjuangan Rasulullah di Madinah.

“Harapan yang sama kita dambakan daripada ahli-ahli KARISMA agar berganding bahu menjayakan wadah baru mahasiswa nanti dengan lebih cemerlang,” katanya.

Memperkukuh kesatuan, menurut beliau lagi, bermakna membuka ruang kesatuan antara mahasiswa, mengelakkan perbezaan yang mungkin wujud dan mencari titik-titik persamaan demi kebaikan bersama. Wadah baru itu nanti perlu berperanan menjadi persatuan mahasiswa utama untuk membela kebajikan warga siswa dan anggota masyarakat seluruhnya.

Abdullah Omar turut menyentuh tidak kurang daripada enam perkara penting sama ada yang berkait langsung dengan KARISMA mahupun yang menyangkut kepentingan umat secara keseluruhan.

Mengenai ‘survival’ umat Islam seluruh dunia, khususnya di Palestin, beliau mengingatkan bahawa isu Palestin adalah isu perjuangan bagi seluruh umat Islam. Sejak dahulu lagi KARISMA telah bekerjasama dengan institusi-institusi yang memperjuangkan isu Palestin secara khusus seperti Aqsa Syarif dan Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE). Justeru, beliau berharap ahli-ahli KARISMA dan wadah mahasiswa yang baru nanti akan terus aktif menyokong perjuangan membebaskan bumi Palestin.

Beliau juga meluahkan rasa bimbang dengan tindakan kerajaan persekutuan yang ketika melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 25 Oktober 2010 lalu hebat menggariskan langkah-langkah positif bagi memulihkan ekonomi negara, namun menyelitkan juga satu ‘langkah ke belakang’ apabila mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan. Langkah ini termasuk menyasarkan kewujudan sekurang-kurangnya 10 kelab malam baru menjelang 2014. Setiap kelab malam ini pula dikatakan dapat menampung sehingga 900 pengunjung dalam satu masa. Perkara ini sudah pasti mengundang masalah sosial dan mahasiswa, katanya, tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bantahan sekiranya masa depan negara bakal tergadai oleh anasir-anasir negatif sebegini.

Selain itu, pengumuman kerajaan menstruktur semula subsidi ke atas barangan seperti petrol, diesel, gas dan gula menyebabkan harga barang-barang keperluan naik. Meskipun matlamatnya dikatakan untuk membantu golongan miskin, namun mereka turut menerima kesan kenaikan ini secara langsung kerana ramai rakyat berpendapatan rendah masih bergantung kepada diesel dan petrol. Golongan ini tidak lagi sekadar menggunakan basikal atau berjalan kaki sahaja. Mahasiswa yang hanya bergantung kepada pinjaman turut terkena tempiasnya. Penjimatan yang dimaksudkan oleh kerajaan masih kecil jika dibandingkan dengan perbelanjaannya yang besar dan cuma menguntungkan sesetengah pihak. Isu yang lebih utama ialah kerajaan perlu memerangi rasuah habis-habisan dan pembaziran dihentikan.

Mengenai larangan berpolitik kepada mahasiswa, KARISMA berpendapat kerajaan perlu adil dalam menangani isu ini. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang mahasiswa berpolitik dilihat lebih ‘keras’ kepada kumpulan propembangkang, sebaliknya lebih ‘lunak’ kepada kumpulan prokerajaan.

“Bagi KARISMA, menjadi anggota sebuah parti, menjadi calon dalam pilihanraya, terlibat dalam kempen atau menyatakan sokongan terhadap suatu parti itu merupakan soalan kedua. KARISMA tidaklah terlalu obses untuk memperjuangkan kebenaran mahasiswa berpolitik. Isu mahasiswa menganggotai sesebuah parti itu tidak menjadi keutamaan KARISMA. Apa yang penting adalah mahasiswa tidak harus dikongkong dan diperkotak-katikkan dengan kenyataan, undang-undang dan tindakan yang kabur,” tegas Abdullah.

Sebagaimana ucapan dasarnya pada perhimpunan lepas, rancangan FIDAK (Fikrah Islam Dominan Alam Kampus) yang dilancarkan KARISMA sejak 2007 terus diberi penekanan istimewa. Tahun ini, FIDAK melangkah ke tahap kedua (RF2) sehingga 2013. Kalau RF1 memberi fokus kepada tarbiah ahli dan pejanaann dana, RF2 memberi tumpuan kepada kebajikan ahli dan masyarakat kampus, meningkatkan hubungan dengan semua pihak serta melaksanakan pengambilan disasar (targeted tajnid). RF3 yang disasarkan sehingga 2015 pula akan memimpin pandangan umum (POL) dan melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya kampus.

Impian KARISMA untuk menyaksikan syariah terlaksana di Malaysia pada 2020 selari dengan mesej Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam satu penulisannya bahawa kepentingan melahirkan graduan berkualiti bukan sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata, tetapi perlu menyumbang kepada kekuatan modal insan, berintegriti, amanah, beretika dan peduli akan dosa pahala, memiliki nilai kerohanian seperti pemaaf, berkasih sayang dan tolong-menolong serta berjiwa besar yang bukan sahaja berilmu tetapi tinggi dengan keluhuran budi.

Abdullah turut mengajak hadirin merenungi dan berasa bimbang dengan laporan Exit Survey: Generic Student Attributes (GSA) mengenai elemen moral dan profesional mahasiswa Malaysia yang rendah (lelaki 57.7%; wanita 73.3%), apatah lagi negara kerap dibanjiri dengan berita-berita khalwat, pembuangan bayi, pelacuran dan penyalahgunaan dadah yang melibatkan pelajar IPT.

Walau apa pun senarionya, KARISMA percaya satu daripada takrifan negara maju adalah maju aspek rohaninya. Pembangunan fizikal sebuah negara perlulah selari dengan pembangunan rohani masyarakat negara tersebut.

“Meletakkan impian pelaksanaan syariah menjelang 2020 adalah suatu impian optimis yang perlu diyakini oleh ahli KARISMA kerana kita mengharapkan negara ini maju dalam menterjemahkan perlembagaannya ‘Islam sebagai agama Persekutuan’. Hal ini bermakna Islam bukan sahaja menjadi agama dalam majlis rasmi, tetapi diterjemahkan menjadi agama yang boleh membawa negara ke arah kemajuan yang hakiki seperti yang diinginkan oleh Islam,” ujarnya.

Beliau berharap rancangan FIDAK akan diteruskan pertubuhan mahasiswa baru di bawah IKRAM nanti.

Sebelum berundur, Abdullah Omar berpesan agar ahli-ahli KARISMA yang kental semangat mudanya tidak lupa untuk bergandingan dengan ‘orang-orang lama’ yang sarat pengalaman. Sikap paling utama yang perlu dipupuk oleh ahli KARISMA adalah meraikan kerja yang telah dilaksanakan oleh orang lain, khususnya para senior dalam jamaah.

“Bangkitlah menggarap perubahan, memperkukuh kesatuan dan memastikan pengalaman, peranan serta pendedahan yang diperoleh KARISMA selama ini dibawa ke medan baru dalam IKRAM,” demikian beliau menutup bicara.


Artikel Asal : Website Ikram

0 comments:

Post a Comment